Thursday, May 15, 2008

UMNO BERUSIA 62 TAHUN DALAM SITUASI DARURAT

Oleh: Ruhanie Ahmad (www.kuda-kepang.blogspot.com)

Pada Ahad, 11 Mei 2008, UMNO menjangkau usia 62 tahun. Senario siasah yang melatarbelakangi kedewasaan ini amat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Kali ini UMNO dalam keadaan rapuh. Ia baru sahaja ditimpa bala yang dimanifestasikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 12 kira-kira dua bulan lalu.

Hakikatnya begitu kerana dalam PRU12, UMNO yang jadi induk Barisan Nasional (BN), kehilangan kuasa pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Ia gagal menebus maruahnya di Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990. Majoriti undi calon-calon BN di Johor – bumi kelahiran UMNO – merosot dengan amat ketara sekali. BN juga hanya memperolehi majoriti tipis di peringkat kerajaan pusat.

Sehingga hari ini belum ada satu post-mortem secara serius dan menyeluruh dilakukan oleh UMNO. Agak sukar untuk memastikan mengapa begini realitinya. Segelintir kecil pemimpin UMNO yang lantang ke arah usaha menghapuskan musibah yang menimpa UMNO dan BN cuma disifatkan sebagai sinar dalam gerhana – kelihatan kelam, suram dan berbalam-balam.

Gagasan dan pandangan kelompok ini selaras dengan aspirasi warga UMNO dan rakyat Melayu yang jadi simpatisan UMNO di peringkat akar umbi. Malangnya, suara dan usaha kelompok ini seolah-olah dipersenda-senda dan diperkecil-kecilkan. Lebih serius lagi, suara dan usaha ini juga disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai penentangan kepada pucuk pimpinan parti.

Keadaan seperti ini amat ironis. Setelah ditimpa musibah sehingga kehilangan kuasa di empat buah negeri, majoriti pembesar UMNO seolah-olah masih beranggapan bahawa UMNO hari ini adalah serupa dengan yang semalam.

Walau dalam situasi darurat, mindset pemimpin besarnya masih terus berada dalam zon selesa. Walau sudah diberikan “kad merah” menerusi PRU12, pemain yang perlu dibuang padang masih terus bermain seperti sediakala. Mungkinkah ini petanda awal bahawa UMNO sedang menuju kehancuran?

Lantaran itu, 11 Mei 2008 wajar dijadikan tarikh asas permulaan UMNO membuat muhasabah diri secara ikhlas, jujur, serius dan menyeluruh. Pelbagai aspek mengenai UMNO, termasuk matlamat, falsafah, roh dan jiwa perjuangannya perlu dituntasi secara rinci.

Usaha di atas wajar dihalusi secara makro dan mikro. Antara lainnya, usaha ini wajar merangkumi aspek-aspek berikut:

Satu: Halusi semula seluruh Fasal 3 Perlembagaan UMNO untuk memastikan sama ada parti ini masih lagi “berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

Dua: Adakah matlamat UMNO dalam Fasal 3.1 perlembagaannya yang memaktubkan bahawa parti ini “mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara” memang benar-benar satu realiti pada saat dan ketika ini. Jika matlamat ini sudah tergelincir atau menyimpang, bukankah ianya mesti segera diperbetulkan seperti sediakala?

Tiga: Aspek insaniah di dalam UMNO perlu dirungkai dan dikaji sedalam-dalamnya. Ini penting untuk memastikan bahawa sesiapa sahaja yang dimandatkan menjunjung obor perjuangan parti di seluruh peringkat adalah pihak yang benar-benar memberikan sinar pembelaan demi rakyat jelata dan bukan diri sendiri.

Empat: Aspek insaniah ini juga perlu dikaji dan dirungkai sedalam-dalamnya supaya soal kepimpinan, kesetiaan dan kesetiakawanan dalam UMNO adalah benar-benar demi agama, bangsa dan tanahair dan bukannya demi sesuatu kelompok tertentu, lebih-lebih lagi elemen asing tertentu yang sedang berusaha mewujudkan hegemoni politik, sosial, ekonomi dan ketenteraan mengikut agenda geopolitik global dan serantau.

Lima: Berkaitan aspek insaniah ini juga, fikirkanlah keperluan mendesak supaya penerapan, pengukuhan dan penyemarakan daya juang dan jiwa perjuangan di kalangan seluruh warga UMNO, khususnya kelompok pemimpinnya, adalah keutamaan semasa yang wajar dilaksanakan secara terancang, konsisten dan berkesan menerusi satu blueprint yang mengandungi perincian etika, disiplin, prosidur dan gerak kerja yang standard.

Enam: Usaha-usaha sosialisasi siasah atau kerja-kerja memasyarakatkan UMNO wajar dilaksanakan pada setiap masa, di semua peringkat dan merangkumi pelbagai kegiatan, khususnya di sektor akar umbi.

Demikianlah antara pandangan saya selaku ahli akar umbi parti yang berusia hanya setahun lebih muda daripada UMNO. Saya mengemukakan pandangan ini demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Pendek kata, seluruh matlamat, asas dan falsafah perjuangan UMNO yang termaktub di dalam perlembagaan parti wajar dikaji dinamismenya supaya boleh dijadikan program dan aktiviti.

Aspek-aspek perjuangan yang strategik pula wajar dijajarkan semula dengan Perlembagaan Persekutuan, Rukunegara dan Wawasan 2020. Ini mungkin boleh membentengi apa jua usaha untuk mempolemik dan mempolitikkan kontrak sosial supaya ia tidak melunturkan seluruh ciri-ciri keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam negara yang multi-etnik.

Lantaran itu, alangkah murninya jika “amanat khas” yang akan disampaikan oleh pembesar UMNO kepada seluruh warga parti di Kuala Lumpur Ahad ini sudi menimbangkan suara akar umbi yang cetek seperti di atas.

Lantaran itu juga, amat meleset sekali jika sambutan UMNO 62 tahun tersebut hanya untuk “mengingati perjuangan para pemimpin terdahulu yang berjaya membangunkan negara sehingga rakyat pelbagai kaum menikmati kemajuan dalam pelbagai bidang.”

Akhir kata, sekali lagi insafilah bahawa UMNO kini bukannya UMNO semalam. UMNO hari ini adalah UMNO yang dalam darurat. UMNO hari ini adalah UMNO yang wajar direkayasan serta diperkasakan semula. UMNO hari ini adalah parti yang dituduh sudah tidak relevan dengan zaman. UMNO ketika ini mestilah dipimpin oleh pembesar-pembesar yang berani mengakui bahawa PRU12 akan menjadi musibah yang lebih parah di hari muka jika tuntutan, hasrat dan aspirasi warga akar umbinya mutakhir ini hanya diperlekeh dan diperkecil-kecilkan.

No comments: