Wednesday, May 14, 2008

Ibrahim Ali masih mencari-cari parti


Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali masih memerlukan masa untuk membuat pertimbangan semasak-masaknya sebelum memilih parti yang akan disertainya.
"Saya nak tengok iklim politik semasa dulu. Dan saya ada banyak masa dan tidak tergesa-gesa untuk mempertimbangkan perkara ini," kata Ibrahim kepada Malaysiakini hari ini, mengulas hasratnya untuk menyertai sebuah parti.
Ahad lalu, Ibrahim mengakui beliau tidak mampu bertahan lama sebagai ahli parlimen bebas dan terpaksa juga bernaung bawah sesebuah parti untuk melaksanakan tugasnya dengan baik.
Ahli politik penuh warna-warni ini berkata beliau akan mengambil kira semua aspek sebelum mengambil keputusan, termasuk pandangan pengundi di parlimennya.Ibrahim menang kerusinya kini atas tiket PAS pada pilihanraya umum 8 Mac dan kini satu-satunya wakil bebas di Dewan Rakyat.
Beliau digantung keahliannya dalam Umno seumur hidup selepas bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum 2004.Ibrahim sebelum ini dilaporkan berkata beliau belum bercadang menyertai PAS walaupun mengadakan kerjasama semasa pilihanraya umum lalu.
"Saya tidak terikat dengan mana-mana pihak termasuk PAS kerana kerjasama yang dijalin dalam pilihanraya lalu memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Bukan saya saja yang untung dalam kerjasama itu, PAS juga dapat untung dari saya," katanya kepada Bernama.

No comments: