Monday, May 19, 2008

ABDULLAH PERLU JUJUR KEPADA UMNO

Ruhanie Ahmad (http://kuda-kepang.blogspot.com)

Sempena harijadi UMNO ke-62 tahun baru-baru ini, saya katakan bahawa UMNO adalah dalam keadaan darurat. Maksudnya, UMNO berhadapan dengan ancaman dan bahaya. UMNO juga boleh hancur dan hilang status induknya dalam Barisan Nasional (BN).

Antara ancaman dan bahaya yang dihadapi UMNO mutakhir ini, khususnya dalam era pasca PRU 12, adalah seperti berikut:

Satu: Kepura-puraan di kalangan sesetengah pemimpin tertingginya. Bila PRU 12 memberikan mesej kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mengosongkan kerusi Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri, segolongan pemimpin UMNO dan BN tergamak memberikan sokongan kepada Abdullah.

Kelompok ini langsung tidak insaf bahawa mereka sebenarnya telah mengkhianati mandat rakyat yang menjadikan mereka pemimpin dan mandat rakyat yang mahukan Abdullah mengundurkan diri di era pasca PRU 12. Mereka hanya bertindak demi kepentingan dirinya.

Dua: Sindrom penafian oleh presidennya. Mulai 2006, Abdullah sentiasa dibelenggu sindrom penafian. Ini menyebabkan beliau seolah-olah berada di awang-awangan dan tidak berpijak kepada realiti. Apa sahaja yang disuarakan demi agama, bangsa dan tanahair disifatkan oleh Abdullah sebagai fitnah atau usaha mengganggu-gugat kepimpinannya.

Hakikat ini telah menghakis keyakinan segolongan rakyat, termasuk ahli UMNO dan penyokong UMNO, kepada BN, UMNO dan kerajaan. Namun begitu, Abdullah tetap tidak sensitif dan tidak prihatin. Akibatnya, kekecewaan rakyat mendorong mereka sama ada tidak keluar mengundi, memberikan undi rosak, atau menyokong parti lawan dalam PRU 12.

Sebagai blogger, saya mengesan hakikat ini sejak akhir 2006. Saya juga mempunyai ratusan komen yang menjurus kepada penyingkirkan BN menerusi PRU 12, bukan kerana pengundi tidak sayangkan BN, tetapi kerana mereka amat kecewa dengan Abdullah. Sebab itulah posting blog saya pada awal 2007 ialah mengenai soal bagaimanakah jika wujud tsunami politik dalam PRU 12?

Pertanyaan saya terjawab. Tsunami politik memang melanda kepimpinan Abdullah menerusi PRU 12. Sebab itulah BN kehilangan kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Sebab itu juga BN gagal menawan semula Kelantan dan hanya memperolehi majoriti tipis di Parlimen Malaysia.

Tiga: Krisis kepimpinan yang kian meruncing. Sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik Abdullah atas kepentingan agama, bangsa dan tanahair - khususnya dari sudut memelihara maruah bangsa dan mempertahankan kedaulatan negara - mulai 2006, Malaysia sebenarnya melalui satu fasa krisis kepimpinan yang serius.

Berikutan PRU 12, krisis ini kian meruncing. Tetapi, Abdullah seolah-olah tidak mahu mengiktiraf hakikat ini. Beliau juga terus yakin bahawa UMNO masih kukuh, UMNO di kampung-kampung terus jadi tunjang kekuatan parti, dan UMNO pula tidak perlu dipost-mortemkan sesudah PRU 12.

Empat: Soal pengganti Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Baru-baru ini Abdullah mendakwa, beliau akan menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak. Tetapi, tempohnya tidak dinyatakan. Pada waktu yang sama, Abdullah pula berkata, beliau akan mempertahankan kerusi Presiden UMNO pada pemilihan parti Disember 2008 ini?

Najib yang dijangka mengambilalih tampuk kekuasaan daripada Abdullah juga seolah-olah membisu terhadap masalah yang melanda UMNO pasca PRU 12. Ini menyebabkan segolongan ahli UMNO tertanya-tanya.

Bila Tengku Razaleigh Hamzah menyarankan supaya diadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), Razaleigh pula jadi bahan kecaman dan cemuhan.

Tatkala Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan supaya UMNO dipost-mortemkan oleh pihak yang berkecuali, Muhyiddin pula dikecam dan diperlekehkan.

Akibatnya, ahli-ahli UMNO terus berada dalam dilemma dan masalah UMNO pasca PRU 12 juga belum ditangani secara berkesan dan menyeluruh. Dalam keadaan begini, salahkah jika ada ahli-ahli UMNO berani bersuara lantang dan mengkritik Abdullah? Salahkah jika mereka juga mendesak Abdullah berhenti serta merta?

Lima: Kehancuran parti dalam tempoh terdekat jika Abdullah tidak mengundurkan diri selaku Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri dengan serta merta. Hakikat ini jelas di depan mata. Perkembangan mutakhir yang membabitkan Mahathir, jika tidak ditangani secara positif oleh kepimpinan tertinggi UMNO, pasti akan menyebabkan lebih ramai ahli UMNO keluar daripada parti.

Ada pula segelintir insan UMNO mentafsirkan tindakan Mahathir sebagai “duri terkeluar daripada daging.” Ini seolah-olah bermakna bahawa selama ini, segala kenyataan dan kritikan Mahathir selaku negarawan ulung, terhadap UMNO dan Abdullah, adalah umpama “duri” yang menyebabkan situasi yang tidak selesa.

Pokoknya, wajar diakui oleh semua pihak, bahawa ikut persepsi rakyat jelata, “duri dalam daging” dalam konteks UMNO mutakhir, adalah Abdullah, bukannya Mahathir. Kalau ada pihak beranggapan sebaliknya, ia hanya akan jadi suara yang membawa rebah.

Pendek kata, apa yang berlaku mutakhir ini adalah bunga-bunga perpecahan yang parah. Ini boleh menghancurkan UMNO. Ubat kepada kemungkinan terjadinya kehancuran ini ialah: Abdullah terpaksa mengundurkan diri dengan segera.

Maka, jika seluruh hipotesis yang pesimis seperti di atas jadi kenyataan, pastinya UMNO tidak lagi jadi induk BN dan tidak lagi jadi tunggak kepada pemerintahan negara. Siapakah bertanggungjawab jika ini jadi kenyataan? Ahli-ahli UMNO? Segolongan pemimpin UMNO yang berpura-pura? Mahathir? Atau Abdullah?

Kini, Mahathir, anggota UMNO seumur hidup dengan nombor keahlian 000000001, sudah keluar daripada parti. Tindakan ini adalah untuk menyanggah Abdullah yang terus berada di persada kepimpinan walaupun sudah tidak lagi menikmati keyakinan majoriti rakyat dan segolongan ahli UMNO.

Mahathir pasti mempunyai “wisdom”nya tersendiri untuk bertindak sedemikian. Bagaimanapun, saya pasti tindakan itu adalah untuk mendorong ahli-ahli supaya berani mengambil risiko, berani bersuara dan berani bertindak sewajarnya.

Abdullah memang boleh memberikan apa sahaja reaksi kepada tindakan Mahathir. Umpamanya, dalam televisyen, Abdullah berkata, “why should I (resign). I have work to do” atau “mengapa perlu saya mengundurkan diri? Saya ada tugas untuk dilaksakan.”

Bagaimanapun, Abdullah wajar insaf bahawa kehadiran beliau sebagai Pengerusi BN, Presiden UMNO dan Perdana Menteri sudah tidak lagi menikmati keyakinan rakyat jelata. Jadi, kalaulah ada “tugas” yang perlu beliau dilaksanakan, “tugas” itu adalah meletakkan jawatan!

Abdullah juga berkata bahawa ahli-ahli UMNO tidak akan meninggalkan parti kerana mereka cintakan parti. Hakikat ini benar. Tetapi, apakah cara terbaik untuk membuktikan cinta, kasih dan sayang kepada parti bila pucuk pimpinan parti itu sendiri nampaknya tidak lagi cinta, kasih dan sayang kepada parti yang sama?

Jika pucuk pimpinan tertingi parti benar-benar cinta, kasih dan sayang kepada UMNO, pastinya Abdullah insaf bahawa UMNO mesti diselamatkan dan diperkasakan menerusi perletakan jawatan beliau atas semua kapasiti dengan serta merta.

Kalau Abdulah tidak bertindak selaras dengan kehendak rakyat jelata, ini bermakna kata-kata beliau menenai cinta, kasih dan sayang kepada UMNO hanya retorika kosong semata-mata.

Hakikatnya demikian kerana atas rasa cinta, kasih dan sayang kepada agama, bangsa dan tanahairlah maka keputusan PRU 12 dijadikan mesej utama menuntut Abdullah keluar daripada persada kekuasan tanahair.

Dan, atas rasa cinta, kasih dan sayang terhadap UMNOlah maka Mahathir sanggup keluar dari parti yang dianggotainya sejak 1946 dan dipimpinnya selama 22 tahun dari 1981 sehingga 2003.

Oleh itu, Abdullah perlu ikhlas kepada UMNO dan dirinya sendiri. Akuilah bahawa diri beliau adalah punca kepada apa yang sedang melanda UMNO mutakhir ini. Lantas, jangan berasa selesa kerana kemarahan anggota parti di peringkat akar umbi terhadap beliau memang sedang menggelegak dan menyemarak. Bertindaklah secara gentleman seperti apa yang dilakukan oleh beberapa pemimpin besar UMNO yang dilanda krisis sebelum ini.

No comments: