Monday, May 12, 2008

Karpal Singh VS Sultan Perak

Sumber: http://www.sangkelembai2006.blogspot.com/

Nampaknya marah sangat orang-orang Melayu di atas sikap ADR Karpal Singh yang mempertikaikan masalah keputusan Raja di Perak dan ucapan Yang Di Pertuan Agong. Sehingga beberapa perkataan yang agak luar biasa digunakan oleh beberapa orang khasnya pemimpin UMNO dan ada yang berduyun-duyun ke Balai Polis membuat laporan.

Sikap membela Raja itu, adalah satu langkah yang terpuji dan mengikut adab resam orang Melayu tetapi yang menjadi tanda tanya kenapa dengan tiba-tiba orang Melayu hendak membela Rajanya? Semua orang tahu semenjak bertahun-tahun generasi pasca kemerdekaan tidak banyak mengerti apa hubungan Raja dengan dirinya sendiri sebagai rakyat.

Tetapi tidak boleh juga dipersalahkan rakyat, kalau kita rajin membaca tentu akan terbaca tulisan-tulisan yang berbunyi Bandar Di Raja. Apa maksudnya Bandar Di Raja itu? Adakah Raja tinggal di situ atau semua penduduk itu semua orang-orang yang ada hubungan dengan Raja, agaknya beberapa kali dalam setahun Raja itu melawat setiap rumah atau kedai yang ada dalam Bandar Di Raja itu? Atau berjumpa rakyatnya.

Di tanah tumpah Sang Kelembai sejak 56tahun dahulu, walau pun pagar istana Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu hampir rapat dengan rumah pusaka keturunan Sang Selembai belum sekali setelah berumur 56 tahun Sang Kelembai masuk ke dalam Istana yang dinamakan Istana Besar itu. Walau pun Sang Kelembai seorang yang berketurunan dari suku orang lingkungan agaknya kerana Raja sudah tidak memakai lagi perkataan rakyat raja dan rakyat yang dahulu dijaga oleh Raja sebagai pelindung sudah banyak di ambil alih oleh orang lain khasnya orang politik.

Dahulu rakyat boleh masuk dan keluar Istana raja, di Seri Menanti, cerita orang tua-tua dahulu raja yang di panggil Yang Di Pertuan Besar bertindak sebagai wakil rakyat. Raja dengan senyum akan menentukan hari berjumpa rakyatnya, di samping bertanya khabar hal kampung juga mendengar apa pertolongan yang dikehendaki oleh rakyatnya. Maka banyak surat-surat sokongan raja dihantar kepada yang berkenaan, kepada Hospital, Pejabat pelajaran dan kebajikan masyarakat untuk disokong permintaan dan pertolongan rakyat malah sampai ke peringkat meminta kerja.

Tetapi hari ini semuanya sudah tiada, yang ada ialah Raja hanya boleh berjumpa pembesar-pembesar dan orang bergelar sahaja dan jika rakyat hendak berjumpa raja sudah pasti menggunakan orang tengah, dan biasanya orang tengah ini rapat dengan raja tidak akan menyampaikan masalah rakyat kerana masalah rakyat tiada memberi keuntungan maka lebih baiklah pembesar-pembesar istana ini membawa orang-orang yang boleh memberi keuntungan kepadanya khususnya yang sedang melobi nak dapat anugerah yang bergelar Dato.

Itu sebab bila rakyat hendak membela rajanya dia berfikir dua kali, Sudahlah kuasa tidak ada lagi kepada Raja dan Raja pula tidak pernah hendak ambil tahu hal rakyat, kalau tidak mengambil tahu rakyat seluruh negeri sekurangnya ambil tahu soal rakyat di luar pagar Istana. Bagaimana pun semenjak 62 tahun kononnya UMNO sudah menjaga anda ia itu meminjam ayat di kad jemputan UMNO yang terbaharu, selama 62 tahun juga rakyat perlu bertanya setelah 62 tahun orang Melayu membela Rajanya dari Malayan Union hingga ke Kemerdekaan 1957 membawa ke Malaysia dan hari ini tahun Milenium, apa yang Raja jaga rakyatnya khasnya orang Melayu dan ugama Islam? Tanyalah pada Raja yang berada di negeri Melayu beraja.

Karpal Singh mungkin betul dan mungkin salah, tetapi banyak betul dari salah. Soal yang dibangkitkan kepada Raja Perak ialah soal konvensyen Raja Berperlembagaan.

Kalau mengikut kajian Mohd Ashraf Ibrahim dari UKM-Universiti Kebangsaan Malaysia dengan nyata bahawa gagasan mengujudkan Raja Berperlembagaan bukan idea UMNO atau orang Melayu sebaliknya pandangan yang dibuat dalam memorandum Malayan Union oleh Persatuan China Seberang Laut yang diketuai oleh Tan Cheng Lock yang kemudiannya menubuhkan MCA-Malayan Chinese Association.

Orang Cina yang tahu bahawa sebenarnya untuk masa satu kurun lamnya semenjak Inggeris menjadi kolonial yang di undang oleh Raja Melayu, yang sebenarnya yang memerintah ialah Residen dan Penasihat British. Jika asal usul Raja Berperlembagaan yang dicadangkan selepas gagasan Malayan Union yang tidak berjaya diwujudkan oleh British, kemudian bertukar dengan nama Persekutuan Tanah Melayu atau dalam bahasa Inggerisnya Federation of Malaya, konsep yang asalnya Raja Berperlembagaan sebenarnya ialah Raja menjadi penasihat kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat atau dalam sistem demokrasi yang bakal di amalkan dalam Malaya yang merdeka.

Maka di sini, jelaslah bahawa keadaan hari ini sudah menjadi terbalik yang kononnya Raja terpaksa bertindak mengikut nasihat kerana adanya perkataan nasihat khasnya dalam tugas yang di Pertuan Agong. Tetapi sebenarnya nasihat Raja hendak di ambil dalam semua keputusan dan bukannya Raja kena menerima nasihat Menteri Besar atau Perdana Menteri, itu yang sebenarnya semangat Raja-raja Melayu menandatangani persetujuan untuk menjadi persekutuan.

Kenapa nasihat Raja kena diminta dalam semua keputusan orang politik yang memegang jawatan Menteri besar dan Perdana Menteri? Jawapannya mudah kerana orang-orang Melayu yang membuka negeri ini mengikut ilmu bagaimana menjadi satu negeri dan mengangkat keturunan datuk nenek moyang Raja menjadi Raja nya dan jika Negeri Sembilan terpaksa mencari raja di Pagar Ruyong di Sumatera Barat setelah perhijrahan besar-besar orang Minangkabau ke Negeri Sembilan yang dahulunya namanya mengikut nama daerah seperti Rembau, Jelabu dan Naning.

Dalam kes Karpal Singh mempertikaikan keputusan Sultan Perak dalam pelantikan seorang Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, kedua pihak ia itu Kerajaan Perak dan Sultan Perak di mana Sultan hanya menentukan hukum hakam agama Islam dan pentadbirannya tetapi kerana Setiausaha Majlis kebiasaannya ialah Pengarah Jabatan Agama Islam, maka Raja berpendapat bahawa dia berkuasa untuk melantik Pengarah, Jabatan Agama Islam, sebenarnya Raja telah membuat satu kesilapan bila dia melantik Pengarah, sewajarnya dia melantik Setiausaha Majlis Agama Islam Perak dahulu dengan sendirinya dia akan menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam bukanya dia melantik Pengarah seperti amalan biasa.

Dalam kes Karpal Singh vs Sultan Perak, bukankah isu besar sangat, dia menjadi besar kerana kurang cerdik Pembesar UMNO menjawabnya. Bukankah mudah jika pemimpin UMNO ini cerdik sikit hanya sekadar berkata, Kita(orang-orang Melayu/Islam) bersyukur dengan Allah kerana sudah dibukakan hati Karpal Singh untuk menerima Negara Islam kerana dahulu dia pernah berkata langkah mayat saya dulu untuk menegakkan Negara Islam, kerana bukan kerana keyakinan kepada Negara Islam tentulah tidak mungkin Pengerusi DAP bermati-matian memperjuangkan kehendak Menteri Besar Perak dari PAS bagi menukarkan Pengarah Jabatan Agama Islam itu, Apa sekali pun walau dan apa caranya Islam yang hendak di bawa oleh PAS di Negeri Perak, UMNO memberikan sokongan kepada tindakan DAP mempertikaikan keputusan itu.

Sang Kelembai: Dalam akta tugas Menteri dan Timbalan Menteri ada menyebut bahawa Menteri hendak dibantu oleh seorang Ketua Setiausaha yang akan memberikan nasihat tetapi Menteri boleh menolak nasihat itu. Pergi tanyalah semua Menteri-menteri berapa banyak yang mendengar nasihat Ketua Setiausaha yang mewakili perkhidmatan awam dan profesion masing-masing sebaliknya semua tidak mahu mendengar nasihat Pegawai Kerajaan, itu sebab UMNO/Barisan Nasional ditolak rakyat kerana lebih banyak mendengar nasihat dari anak, anak menantu, saudara mara dan khasnya pegawai Tingkat Empat (bukan west wing) Perdana Putra, Putrajaya.

No comments: